Wednesday, December 23, 2009

Bacalah dan Hayati Setiap Baris Kata Cerita Dibawah....


Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik
mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng
kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh
adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari
Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi
pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila
adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai
baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-
denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar
Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla
hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke
telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid
cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami
bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit
berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang
syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik
pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah.
Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu
adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil
Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad
pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka
kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya
duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian
walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri
betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat
tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca
sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik
baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-
salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana
ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas,
hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik
nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan
askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik
dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil
melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki
walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid
longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh
tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik
terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik
menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu
persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium
pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang
tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada
adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh
walid. Walid tidak bergerak. Walid
kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

bersambung......



No comments: